HKHM 2026 l PROGRAM EDARAN JALUR GEMILANG SEMARAK SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN DI KEDAH










HKHM 2026 l PROGRAM EDARAN JALUR GEMILANG SEMARAK SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN DI KEDAH
Tarikh: Isnin, 3 Ogos 2026
Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Kedah mempergiat usaha menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan 2026 menerusi Program Edaran Jalur Gemilang yang bertujuan menyuntik semangat patriotisme serta menggalakkan masyarakat mengibarkan bendera kebangsaan melalui Kempen Satu Rumah Satu Jalur Gemilang.
Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kedah, Puan Nurazila Azizan berkata program yang dilaksanakan ini melibatkan penyerahan Jalur Gemilang kepada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) sebelum diteruskan ke beberapa lokasi tumpuan awam termasuk Perpustakaan Awam Negeri Kedah, UNIFI Alor Setar serta beberapa agensi di bangunan UTC Kedah.
“Program kita pada hari ini adalah edaran Jalur Gemilang ke Majlis Bandaraya Alor Setar dan seterusnya kita menyantuni orang awam yang mendapatkan perkhidmatan di kaunter-kaunter seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan Klinik Kesihatan di UTC Kedah. Kita juga bergerak ke Perpustakaan Awam Negeri Kedah dan juga ke salah satu telco terbesar di Kedah iaitu UNIFI.”
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Edaran Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan 2026 dan Kempen Satu Rumah Satu Jalur Gemilang di G-Residence, Alor Setar. Hadir sama Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya; ADUN Kota Darul Aman, YB Teh Swee Leong; ADUN Derga, YB Muhammad Amri Wahab; Ahli-Ahli Majlis MBAS serta pegawai-pegawai terlibat.
Tambah beliau program berkenaan bertujuan menyuntik serta menggelorakan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini, selain menggalakkan lebih ramai rakyat mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang kecintaan kepada negara.
“Tujuan kita adalah membuat edaran Jalur Gemilang bagi menyuntik dan menggelorakan semangat sempena sambutan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini. Program ini akan diteruskan sehingga 31 Ogos 2026,” katanya.
Beliau berkata selepas program itu, JaPen Kedah akan menganjurkan beberapa lagi program di daerah-daerah lain di negeri Kedah dengan pendekatan yang sama bagi memastikan mesej patriotisme terus disampaikan kepada masyarakat.
“Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kedah akan mempunyai beberapa program yang menarik yang akan dilaksanakan di beberapa daerah. Situasinya sama seperti hari ini, iaitu untuk menyuntik semangat patriotik dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.
Mengenai Kempen Satu Rumah Satu Jalur Gemilang, beliau berkata inisiatif itu bertujuan menggalakkan setiap isi rumah mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kecintaan kepada negara dan menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak G-Residence atas kerjasama menjayakan program berkenaan yang melibatkan penyertaan Komuniti MADANI dari Tongkang Yard.
“Kami berterima kasih kepada pihak G-Residence yang bekerjasama melaksanakan Program Satu Rumah Satu Jalur Gemilang di G-Residence ini. Dalam masa yang sama, kita menghimpunkan Komuniti MADANI daripada Tongkang Yard sebelum mengadakan pemasangan Jalur Gemilang di salah sebuah kediaman yang terpilih di sini,” katanya.
Program berkenaan merupakan antara pengisian Bulan Kebangsaan 2026 yang dilaksanakan JaPen Kedah bagi memperkukuh semangat patriotisme serta menggalakkan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang perpaduan, kecintaan dan kebanggaan terhadap negara.
Sumber: Facebook Majlis Bandaraya Alor Setar
#MalaysiaMADANI
#KesejahteraanDinikmati
#Merdeka360
🇲🇾🇲🇾🇲🇾🇲🇾🇲🇾🇲🇾🇲🇾🇲🇾🇲🇾🇲🇾


