SEMANGAT PATRIOTIK TERAS PERPADUAN BANGSA

Oleh Mohd Sabri Abdullah
msabri@inform.gov.my
Saban tahun sekitar bulan Julai hingga September, pelbagai program berbentuk patriotisme diadakan sempena sambutan Bulan Kebangsaan. Pada tahun ini, negara kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-68 tahun, juga penubuhan Malaysia ke-62 tahun. Seiring dengan sambutan ini, pelbagai program dirancang dan disusun oleh pihak Kerajaan serta pelbagai pihak lain bagi memastikan semangat patriotik terus subur dalam jiwa rakyat Malaysia.
Menerusi Jawatan Kuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi, kerajaan telah menyusun beberapa program utama yang akan dilaksanakan, antaranya; Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Muar, Johor pada 27 Julai; Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2025 di Putrajaya pada 31 Ogos; dan Sambutan Hari Malaysia di Pulau Pinang pada 16 September.
Selain itu, terdapat juga program-program sisipan seperti Majlis Memperingati Negarawan, Kira Detik Merdeka, Kembara Jalur Gemilang, Wayang Pacak Merdeka, Pameran Sejarah Kemerdekaan, Quran Hour dan banyak lagi program yang akan dilaksana termasuk juga di media elektronik dan media sosial bertujuan untuk membangkitkan semangat patriotik rakyat Malaysia.
Semangat patriotik dan cinta pada negara merupakan asas terpenting dalam pembinaan jati diri rakyat Malaysia. Jati diri yang kukuh membantu rakyat memahami asal-usul, sejarah, dan nilai-nilai yang membentuk negara mereka. Ia juga memupuk rasa bangga dan setia kepada negara serta mendorong rakyat untuk mengambil bahagian secara aktif dalam pembangunan negara.
Sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama, semangat ini menjadi tunjang kepada perpaduan dan kesejahteraan yang kita kecapi sejak merdeka. Namun, dalam era globalisasi dan teknologi maklumat yang serba pantas, cabaran untuk memupuk semangat patriotik dan cinta kepada negara, terutama dalam kalangan generasi muda semakin mencabar.
Nilai patriotisme bukan lagi sekadar laungan semangat `merdeka’ atau mengibar bendera, tetapi perlu diterjemah dalam tindakan memperkukuh perpaduan, menjaga keharmonian, dan berusaha bersama untuk memajukan negara tanpa mengira perbezaan status, bangsa, agama atau ideologi politik. Walaupun landskap politik negara terus berubah dan pentadbiran kerajaan bersilih ganti antara parti, namun kesetiaan kepada negara dan semangat cintakan tanah air perlu kekal utuh.
Kita boleh berbeza pandangan dan ideologi kerana itu adalah lumrah dalam sebuah negara demokrasi, namun agenda mempertahankan kedaulatan negara, harus menjadi keutamaan bersama. Perpaduan dalam kepelbagaian adalah manifestasi sebenar semangat patriotik dalam era Malaysia MADANI. Perpaduan akan menjadi tonggak kepada kestabilan politik dan keamanan negara kerana ia mengurangkan risiko konflik dan ketegangan antara kaum membolehkan Kerajaan berfungsi dengan lebih cekap dan efektif.
Dalam konteks ini, semangat patriotik bukan sahaja tertumpu kepada mengenang jasa pejuang kemerdekaan, tetapi turut melibatkan perjuangan untuk mengekal kedaulatan negara daripada cabaran bentuk baharu yang lebih kompleks dan halus sifatnya. Jika dahulu penjajahan terjadi melalui penaklukan bersenjata ke atas negara kita telah mengorbankan banyak jiwa, tetapi kini penjajahan mungkin boleh berlaku menerusi penguasaan ekonomi, konflik antara kaum, penyerapan budaya asing dan juga pemikiran dalam kalangan generasi baru.
Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni
Sejak 2023, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia disambut dalam semangat Malaysia MADANI, yang menekankan nilai kemanusiaan, keadilan dan perpaduan sebagai teras utama dalam membentuk sebuah negara bangsa yang progresif dan berdaya tahan. Malaysia MADANI menjadi tunjang kemakmuran dan kemajuan negara melalui dukungan enam nilai teras utama yang menjadi panduan dalam memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia.
Jika pada tahun 2024, tema sambutan HKHM adalah “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka” yang menekankan penzahiran kepada kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menterjemahkan semangat patriotik dan cinta pada negara melalui pelbagai cara termasuk pemikiran, ekonomi dan sosial dalam membentuk rakyat yang bersatu padu, harmoni dan progresif.
Tahun ini pula, tema sambutan HKHM adalah “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” bertepatan dengan aspirasi kerajaan untuk terus membela nasib rakyat. Tema ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan setiap lapisan rakyat tidak terpinggir daripada arus pembangunan negara. Usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pelbagai inisiatif kebajikan, ekonomi, pendidikan dan kesihatan adalah bukti komitmen Kerajaan Perpaduan untuk menjaga kebajikan rakyat secara menyeluruh.
Dasar-dasar prorakyat yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2025 meliputi inisiatif bantuan rakyat dan kos sara hidup seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Bantuan Awal Persekolahan (BAP), insentif keusahawanan, peluang pendidikan dan peningkatan kemudahan infrastruktur luar bandar adalah cerminan kepada prinsip MADANI yang meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
Malah, tema tahun ini juga mengambarkan aspirasi Kerajaan dalam membina sebuah negara adil dan saksama yang menjadi asas kukuh kepada semangat perpaduan nasional apabila rakyat berpendapatan rendah dan golongan kaya saling memahami, menyokong dan menghormati antara satu sama lain demi kemajuan serta keharmonian negara.
Patriotisme Tanggungjawab Bersama
Dalam semangat Malaysia MADANI, semangat patriotik perlu terus diperkasa di semua peringkat rakyat. Generasi muda perlu dibentuk dengan nilai kenegaraan sejak di bangku sekolah rendah lagi agar mereka dapat memahami dan menghayati erti sebenar kemerdekaan dan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Institusi keluarga, pendidikan, dan media juga perlu turut memainkan peranan penting dalam memastikan semangat cintakan negara terus subur dan mekar dalam jiwa rakyat.
Kejayaan negara dalam mengekalkan kemerdekaan selama 68 tahun dengan kemajuan dan kemakmuran yang terus bertambah baik bukanlah suatu perkara yang harus dipandang ringan kerana ia adalah hasil pengorbanan dan perjuangan generasi terdahulu yang tidak tunduk kepada kuasa penjajah. Kini tanggungjawab untuk mempertahankan dan mengurus kejayaan itu terletak di bahu kita semua.
Maka, sempena sambutan Bulan Kebangsaan ini, marilah kita menyemarakkan kembali semangat patriotik dengan menjadikan Malaysia MADANI sebagai landasan untuk memperkukuh perpaduan dan mempertahankan kedaulatan negara. Perpaduan antara rakyat tidak akan terjalin erat sekiranya tidak ada perasaan saling menghormati antara satu sama lain. Tanpa perpaduan, negara akan sentiasa terdedah kepada ancaman dan mudah diprovokasi oleh pihak yang berkepentingan terutama gerakan subversif dengan menanam bibit perpecahan dan kekacauan dalam masyarakat.
Peristiwa 13 Mei 1969, perlu dijadikan iktibar buat seluruh rakyat Malaysia. Peristiwa hitam ini adalah peringatan pahit tentang bahaya perpecahan kaum dan peri pentingnya perpaduan serta keharmonian dan masyarakat majmuk. Sikap hormat dan toleransi adalah elemen penting dalam semangat patriotik untuk memastikan rakyat dapat bersatu padu, harmoni dan sejahtera.
Oleh itu, konsep Malaysia MADANI meletakkan `Hormat’ sebagai salah satu teras penting dalam usaha untuk membangunkan negara adalah sangat tepat. Ia menekankan pentingnya perilaku hormat dalam semua aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Konsep `Hormat` bertujuan untuk membangunkan budaya hormat dalam masyarakat Malaysia yang saling menghargai antara satu sama lain, menghormati undang-undang dan menghormati kepelbagaian yang ada.
Patriotisme bukanlah paksaan, ia hidup dalam hati bila kita rasa bangga dengan sesiapa sahaja yang kita temui bahawa kita rakyat Malaysia dan sanggup berkorban untuk negara. Perpaduan pula akan menguatkan jati diri bangsa, memudahkan kerjasama dan membantu membina negara yang aman serta makmur.
Pendek kata semangat patriotik yang jitu adalah teras untuk memperkukuhkan semangat perpaduan bangsa, seterusnya membolehkan rakyat bekerjasama dalam membangun negara dan menghadapi cabaran bersama. Malaysia adalah milik kita bersama, masa depan Malaysia, kita yang tentukan. Kita cinta Malaysia bukan untuk sehari dua tetapi untuk seumur hidup.
Pengarah, Bahagian Penerbitan Dasar Negara,
Jabatan Penerangan Malaysia