RUKUN NEGARA BUKAN SEKADAR IKRAR

RUKUN NEGARA BUKAN SEKADAR IKRAR

Oleh Wan Alia Athira binti Wan Nazari
alia.athira@inform.gov.my

Menjelang 31 Ogos setiap tahun, semangat patriotik dan nostalgia perjuangan membebaskan tanah air kembali menyatukan rakyat Malaysia. Lagu Negaraku berkumandang dengan penuh rasa bangga, Jalur Gemilang berkibar megah di setiap penjuru dan Rukun Negara dilafazkan serentak sebagai simbol kesetiaan kepada tanah air. Namun, persoalan yang wajar ditanya, adakah Rukun Negara sekadar satu ikrar yang diulang saban tahun, atau benar-benar difahami, dihayati dan diamalkan dalam diri setiap anak watan?

Rukun Negara bukan lahir secara kebetulan. Ia lahir daripada keperluan mendesak untuk memulihkan perpaduan selepas tercetusnya tragedi 13 Mei 1969, satu insiden yang menggugat hubungan kaum dan menggoncang kestabilan negara. Peristiwa itu membuka mata semua pihak bahawa keharmonian dalam masyarakat majmuk bukan sesuatu yang boleh dianggap remeh. Dalam sesebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya, ketiadaan nilai yang disepakati hanya akan membuka ruang kepada konflik dan perpecahan.

Lima prinsip utama Rukun Negara – Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan – dirangka sebagai satu formula untuk memulihkan semula perpaduan. Ia bukan sekadar usaha jangka pendek untuk meredakan ketegangan kaum ketika itu, tetapi menjadi panduan jangka panjang ke arah membina negara bangsa yang lebih aman dan harmoni.

Prinsip-prinsip ini menjadi asas penyatuan nasional. Kepercayaan kepada Tuhan mendidik masyarakat agar berpegang teguh kepada nilai kerohanian yang tinggi. Kesetiaan kepada Raja dan Negara menyuburkan semangat patriotik dan cintakan tanah air. Keluhuran Perlembagaan menegaskan pentingnya menghormati peraturan asas negara, manakala kedaulatan undang-undang menjamin keadilan tanpa mengira kaum atau kedudukan. Prinsip kesopanan dan kesusilaan pula membentuk adab dan tatasusila dalam hubungan sosial antara rakyat daripada pelbagai latar belakang.

Namun, sekiranya prinsip-prinsip Rukun Negara tidak diamalkan sepenuhnya, keharmonian yang telah sekian lama dibina boleh terjejas. Dalam era ini, kita berdepan dengan pelbagai gejala yang membimbangkan, termasuk penyebaran kebencian di media sosial, sentimen perkauman dan sikap tidak hormat terhadap institusi negara. Meskipun negara telah lebih enam dekad mengecapi kemerdekaan, masih wujud individu dan kumpulan yang menyebarkan naratif ekstrem di alam maya, mencetuskan provokasi antara kaum dan agama, mempermainkan keutuhan perlembagaan malah mencabar kedaulatan undang-undang.

Situasi ini mencerminkan betapa pentingnya penghayatan terhadap Rukun Negara diterapkan secara menyeluruh. Ia tidak memadai sekadar dilafazkan dalam upacara rasmi, sebaliknya perlu dijadikan panduan dalam setiap tindakan harian, sama ada dalam kehidupan nyata mahupun di ruang maya.

Dalam menghadapi cabaran ini, semua pihak mempunyai peranan. Keluarga menjadi asas awal untuk memupuk sikap saling menghormati dan bertoleransi. Institusi pendidikan perlu memperkukuh pendidikan sivik dan nilai murni. Media pula perlu bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat yang membina, bukan merosakkan. Rakyat pula harus berani menolak budaya kebencian dan memilih jalan perpaduan.

Tema Hari Kebangsaan 2025, “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” amat bertepatan dengan semangat yang terkandung dalam Rukun Negara. Tema ini menuntut kita kembali kepada asas nilai kemanusiaan, hormat-menghormati dan penyatuan dalam kepelbagaian. Menyantuni rakyat bukan sekadar memberi bantuan, tetapi juga mendengar dengan hati, memahami dengan empati dan bertindak dengan ihsan. Prinsip ini selari dengan asas Rukun Negara, khususnya dalam menjunjung kesopanan, kesusilaan dan kepercayaan kepada Tuhan.

Hakikatnya, semangat perpaduan dan integrasi dalam masyarakat majmuk tidak akan lahir secara spontan. Ia perlu dipupuk melalui satu pegangan nasionalisme yang dikongsi bersama oleh seluruh warganegara. Dalam konteks Malaysia, pegangan itu terletak pada ideologi nasional Rukun Negara yang menjadi asas kepada keharmonian dan kestabilan yang kita nikmati hingga ke hari ini. Di tengah cabaran semasa yang menguji semangat perpaduan, Rukun Negara adalah kompas moral dan sosial yang tidak boleh diketepikan.

Memetik kata-kata mantan Perdana Menteri Kedua Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein “Rahsia kesempurnaan Rukun Negara adalah dengan amalannya. Tanpa amalan, Rukun Negara akan menjadi secebis dokumen yang tidak mempunyai makna”.

Penulis ialah Penolong Pengarah, Bahagian Penerbitan Dasar Negara,
Jabatan Penerangan Malaysia.