JALUR GEMILANG MILIK KITA: HORMATI, LINDUNGI DAN KIBARKAN

JALUR GEMILANG MILIK KITA: HORMATI, LINDUNGI DAN KIBARKAN

Oleh: Mohd Sabri Abdullah
msabri@inform.gov.my

Tanggal 31 Ogos dan 16 September merupakan tarikh keramat yang diraikan setiap tahun oleh rakyat Malaysia. Tarikh ini bukan sekadar cuti umum, malah mencerminkan detik bersejarah negara. Tarikh 31 Ogos menandakan kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajahan, manakala 16 September menandakan terbentuknya Malaysia melalui penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan.

Seiring semangat perpaduan nasional, sejak 2015, sambutan 31 Ogos tidak lagi dirujuk sebagai Hari Merdeka semata-mata, tetapi sebagai Hari Kebangsaan bertujuan menyatupadukan semangat rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak di bawah satu panji iaitu Jalur Gemilang. Ia adalah simbol kesatuan dan kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia.

Jalur Gemilang bukan hanya sekadar sehelai kain berwarna merah biru putih dengan bulan dan bintang. Tetapi ia melambangkan kedaulatan, perpaduan, maruah, dan identiti negara. Bendera ini menyatukan lebih 32 juta rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama di bawah satu lambang yang megah.

Menghormati dan mengibarkan Jalur Gemilang bukanlah ritual kosong. Ia mencerminkan semangat patriotisme dan kesetiaan kepada negara. Sikap ambil berat terhadap bendera negara adalah cerminan sejauh mana kita menghargai kemerdekaan yang dicapai hasil keringat, darah dan air mata pejuang terdahulu.

Tahun ini, Malaysia bakal menyambut Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia ke-62. Sambutan ini akan dipacu oleh Kementerian Komunikasi dan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN). Pelbagai program dirancang untuk menyemarakkan sambutan sepanjang Bulan Kebangsaan bermula Julai hingga September.

Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang akan berlangsung pada 27 Julai 2025 di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor dan akan dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Ia akan menjadi pembuka tirai kepada pelbagai program lain termasuk Perarakan Hari Kebangsaan di Putrajaya (31 Ogos) dan Sambutan Hari Malaysia di Pulau Pinang (16 September).

Pengisian utama program sambutan sepanjang tempoh dari Julai hingga September, akan dipenuhi dengan aktiviti kibaran bendera Jalur Gemilang di seluruh pelosok negeri, jalan, bangunan, dan sebagainya untuk memeriahkan suasana sambutan di samping membangkitkan semangat patriotik rakyat.

Kempen Mengibar Jalur Gemilang merupakan satu daripada acara yang dapat menyerlahkan semangat patriotisme rakyat. Sebagai rakyat yang cinta akan negara, Jalur Gemilang harus diberikan penghormatan tinggi kerana ia adalah lambang identiti bangsa dan simbol kedaulatan negara.

Pada kali ini, kempen ‘1 Rumah 1 Jalur Gemilang’ dan ‘Kembara Merdeka Jalur Gemilang’ terus digerakkan untuk menggalakkan rakyat mengibarkan bendera. Pasukan Kembara Merdeka akan menjelajah ke setiap pelosok tanah air untuk membawa mesej kibarkan Jalur Gemilang dan hormati kebesarannya di samping mesej perpaduan dan cintakan negara.

Kibaran Jalur Gemilang di rumah, sekolah, pejabat, premis perniagaan dan kenderaan bukan sahaja memeriahkan suasana, tetapi juga membangkitkan semangat patriotik dan menyatukan rakyat. Ia adalah cara paling mudah namun penuh makna untuk menunjukkan rasa cinta kita kepada tanah air.

Setiap rakyat berhak mengibarkan Jalur Gemilang dengan syarat mengikut etika atau panduan yang ditetapkan. Ia perlu dikibarkan secara tertib sebagai lambang kebesaran dan kedaulatan negara pada bila-bila masa dan di mana-mana selagi kesesuaian dan kehormatan terhadap bendera itu terpelihara.

Dalam semangat kita mengibarkan Jalur Gemilang, aspek etika dan penghormatan tidak boleh diabaikan. Bendera yang koyak, lusuh atau dipasang terbalik mencerminkan kealpaan dan ketidakpekaan terhadap simbol negara. Perbuatan seperti ini boleh dianggap sebagai penghinaan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

JAPEN telah menerbitkan buku panduan seperti ‘Menghormati Lambang-Lambang Kebesaran Negara’ pada 2020, yang menjadi rujukan kepada agensi dan orang awam dalam memahami peraturan penggunaan Jalur Gemilang. Buku ini juga diterbitkan secara digital dan boleh diakses secara percuma melalui laman Dbook JAPEN di www.dbook.penerangan.gov.my.

Beberapa kes penghinaan terhadap Jalur Gemilang telah berlaku, termasuk pemasangan bendera secara terbalik sebagai simbol protes. Perbuatan ini bukan sahaja tidak matang, malah mencabar maruah negara dan Yang di-Pertuan Agong. Baru-baru ini, kesilapan visual seperti penggunaan grafik bendera yang tidak tepat hasil teknologi kecerdasan buatan (AI) melibatkan sebuah portal berita telah mencetuskan kontroversi dan kemarahan rakyat baru-baru ini. Malah kecuaian begini bukan sahaja melibatkan pihak swasta tetapi turut membabitkan sebuah agensi kerajaan sendiri yang telah mencalar reputasi agensi tersebut.

Dalam era digital, pereka grafik dan penggiat kandungan perlu memainkan peranan besar dalam menjaga ketepatan dan kesahihan penggunaan visual Jalur Gemilang. Setiap karya visual harus melalui semakan teliti agar tidak menyentuh sensitiviti rakyat atau mencemarkan imej negara.

Penggunaan Jalur Gemilang dalam bahan visual tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Susunan warna, kod warna, bentuk, dan elemen bendera perlu menepati spesifikasi rasmi. Pereka tidak boleh mengubah suai bendera untuk tujuan estetika atau kreativiti melampau yang menghilangkan maksud asalnya. Rekaan yang tidak tepat boleh memberi kesan besar kepada persepsi rakyat dan menimbulkan kekeliruan.

Peranan pereka bukan sahaja menghasilkan visual menarik, tetapi juga mendidik dan menyemai semangat patriotisme. Rekaan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia perlu membawa naratif cinta akan negara, rasa kebanggaan dan penyatuan rakyat.

Antara kesilapan yang sering juga berlaku adalah penggunaan bendera sebagai kostum. Menjadikan Jalur Gemilang sebagai baju, seluar, tanjak atau kain tudung adalah menyalahi etika. Walaupun niatnya untuk menunjukkan semangat patriotik, namun tindakan ini dianggap tidak sopan dan menjatuhkan maruah bendera itu. Penggunaan motif dan warna bendera dibenarkan, tetapi bukan imej bendera itu sendiri.

Setiap warga perlu memiliki kesedaran bahawa penghormatan ke atas bendera negara adalah simbol patriotisme dan nasionalisme yang perlu dihayati. Maka setiap rakyat perlu bertanggungjawab untuk memelihara maruah Jalur Gemilang. Jika terlihat bendera yang lusuh, rosak atau tidak dipasang dengan betul, tegur dan nasihatilah dengan berhemah. Jika terlihat rekaan grafik atau bahan promosi yang salah, tegur atau laporkan kepada pihak berkuasa. Kesedaran dan tindakan bersama penting dalam memelihara lambang kebesaran negara.

Sebagai sebuah jabatan utama yang bertanggungjawab menyampaikan dasar dan maklumat rasmi berkaitan dasar serta program Kerajaan kepada rakyat, JAPEN memainkan peranan penting dalam memastikan rakyat memahami, menghormati dan menyanjung tinggi lambang kebesaran negara khususnya Jalur Gemilang kerana ia adalah simbol identiti nasional, maruah dan kedaulatan Malaysia.

JAPEN akan terus komited memperkukuh mesej menghormati Jalur Gemilang melalui pendekatan pendidikan dan komunikasi berterusan sama ada secara fizikal atau digital. Mesej ini penting disampaikan kepada semua lapisan rakyat Malaysia terutama generasi muda bagi memastikan mereka bukan sahaja mengenali, tetapi turut menjiwai dan menghormatinya.

Jalur Gemilang adalah cerminan jati diri negara. Ia adalah simbol yang menyatukan kita, tidak kira latar belakang, agama dan bangsa. Hormatilah ia, kibarkan dengan bangga, dan wariskan semangat cintakan negara kepada generasi akan datang. Kerana Jalur Gemilang bukan sekadar bendera tetapi ia adalah jiwa Malaysia.

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-68. Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni. 

Pengarah
Bahagian Penerbitan Dasar Negara
Jabatan Penerangan Malaysia