HKHM2025 I PENTARAMA MERDEKA @HOHO (PERAK)
HKHM2025 I PENTARAMA MERDEKA @HOHO (PERAK)
Tarikh: 23 Ogos 2025 (Sabtu)
Program Pentarama Merdeka @HOHO telah diadakan di sekitar Bandar raya Ipoh, Perak. Program ini dianjurkan bagi menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan serta memperkukuh semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat setempat.
Program dimulakan dari hentian pertama di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh. Para penonton dihiburkan dengan persembahan tarian serta nyanyian lagu-lagu patriotik yang membangkitkan semangat cintakan tanah air. Antara pengisian lain adalah sesi Sembang Santai Sambutan HKHM 2025, penerangan mengenai inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang dan Kuiz Kenegaraan bersama masyarakat tempatan.
Program diteruskan di Gerbang Malam Ipoh yang menjadi lokasi kedua. Suasana lebih meriah dengan kehadiran orang ramai yang turut serta mengibarkan Jalur Gemilang sambil menyertai aktiviti-aktiviti yang diadakan. Perjalanan malam patriotik ini kemudian diteruskan ke Bulatan Sultan Azlan Shah di mana persembahan, sembang santai dan kuiz kenegaraan turut berlangsung.
Program yang berlangsung ini berjaya mengumpulkan masyarakat pelbagai lapisan di Bandar raya Ipoh untuk bersama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan. Dengan semangat yang berkobar-kobar, rakyat menunjukkan kecintaan mereka kepada negara melalui kibaran Jalur Gemilang, nyanyian lagu patriotik serta penyertaan dalam aktiviti kenegaraan yang dianjurkan.
Pentarama Merdeka @HOHO 2025 Peringkat Negeri Perak bukan sahaja berjaya memupuk semangat perpaduan, malah menjadi wadah menyemai rasa bangga terhadap tanah air tercinta, Malaysia.