HKHM2025 I INISIATIF 1 RUMAH 1 JALUR GEMILANG PRESINT 15, PUTRAJAYA
Persatuan Penduduk P15-12A, Presint 15 Putrajaya telah berjaya menganjurkan Program Gotong-Royong Kibar Jalur Gemilang Peringkat Komuniti P15-12A melibatkan penyertaan aktif penduduk setempat daripada pelbagai peringkat umur.
Sebanyak 250 helai Jalur Gemilang telah dipasang mengelilingi kawasan Perumahan Penjawat Awam P15-12A, sebagai lambang semangat patriotik sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-68 bagi tahun 2025.
Program ini merupakan kesinambungan daripada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Sempena Bulan Kemerdekaan 2025 anjuran Perbadanan Putrajaya yang telah berlangsung.
Menurut Encik Nik Mohd Fitra bin Wan Jaffar, Pengerusi Persatuan Penduduk P15-12A, komitmen tinggi dan semangat yang ditonjolkan oleh warga P15-12A dalam menjayakan aktiviti ini jelas mencerminkan rasa cinta dan tanggungjawab terhadap negara, di samping mengeratkan hubungan kejiranan serta memperkukuh semangat perpaduan dalam komuniti.