HKHM2025 I INISIATIF 1 RUMAH 1 JALUR GEMILANG JABATAN PERDANA MENTERI
Tarikh: 7 Ogos 2025 (Khamis)
Masa: 9.00pagi
Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah berlangsung dengan penuh semangat patriotisme di Perkarangan Setia Perdana 8, Kompleks Setia Perdana, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya. Program ini merupakan salah satu inisiatif dalam menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) yang diraikan pada setiap tahun.
Program ini bertujuan untuk menyemai semangat cintakan negara, menggalakkan pengibaran Jalur Gemilang di premis kerajaan serta menyatukan penjawat awam di bawah aspirasi kenegaraan yang utuh. Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen JPM dalam menyokong usaha kerajaan memperkukuh perpaduan nasional menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.
Majlis diserikan dengan penyerahan Kit Jalur Gemilang oleh YBrs. Encik Muhammad Najmi bin Mustapha, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (BPKPM), Jabatan Penerangan Malaysia kepada YBhg. Datuk Abd. Shukor bin Mahmood, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri sebagai simbolik program. Acara turut disusuli dengan penyerahan bendera kepada konvoi kenderaan JPM dan agensi-agensi di bawah Kompleks Setia Perdana, melambangkan permulaan gelombang kibaran Jalur Gemilang di peringkat jabatan.