HKHM2025 I INISIATIF 1 RUMAH 1 JALUR GEMILANG IPD PUTRAJAYA
Tarikh: 6 Ogos 2025 (Rabu)
Masa: 9.30pagi
Lokasi: IPD Putrajaya – SMK Putrajaya Presint 9(2) – Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI Abdullah Ibn Mas’ud (SIRAJ AIM), Presint 11 – Balai Polis Presint 11
Bagi menyemarakkan semangat patriotisme bersempena Sambutan Hari Kebangsaan 2025, Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang diteruskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya. Program ini merupakan inisiatif Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam usaha menyemarakkan kibaran Jalur Gemilang di seluruh negara serta meningkatkan kesedaran rakyat terhadap pentingnya semangat cintakan tanah air.
Program bermula dengan ketibaan YBrs. Puan Julina binti Johan, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia. Ketibaan beliau disambut mesra oleh warga PDRM dan diteruskan dengan sesi menandatangani buku lawatan. Majlis diteruskan dengan sesi penyerahan rasmi Kit Jalur Gemilang daripada Ketua Pengarah JAPEN kepada Ketua Polis Daerah Putrajaya sebagai simbolik kempen Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang.
Acara diteruskan dengan gimik pemasangan Jalur Gemilang di kenderaan-kenderaan polis, sebelum perarakan konvoi dari IPD Putrajaya menuju ke Balai Polis Presint 11 dimulakan. Perarakan sejauh 6.8 kilometer ini turut membawa makna simbolik bersempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-68.
Konvoi turut singgah di dua buah institusi pendidikan iaitu SMK Putrajaya Presint 9(2) dan Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI Abdullah Ibn Mas’ud (SIRAJ AIM), Presint 11. Kit Jalur Gemilang turut diserahkan kepada Pengetua dan Guru Besar sekolah masing-masing sebagai galakan untuk turut serta dalam mengibarkan bendera kebangsaan dan menyemai nilai-nilai kenegaraan dalam kalangan generasi muda.
Program diakhiri dengan ketibaan konvoi ke Balai Polis Presint 11. Penyerahan Kit Jalur Gemilang turut disempurnakan oleh YBrs. Encik Muhammad Najmi bin Mustapha, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (PKPM), Jabatan Penerangan Malaysia kepada Ketua Balai Polis Presint 11 sebagai menandakan sokongan berterusan JAPEN dalam usaha menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan di peringkat komuniti dan institusi keselamatan.
Gimik pemasangan Jalur Gemilang di Kuarters Kerajaan Balai Polis Presint 11 juga turut dilaksanakan bagi mencerminkan semangat kekitaan, perpaduan, dan kesungguhan penjawat awam serta anggota keselamatan dalam memperingati 68 tahun kemerdekaan tanah air.
Program ini secara keseluruhan bukan sekadar menyampaikan kit bendera, malah mengangkat mesej perpaduan, cintakan negara dan tanggungjawab bersama dalam mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan dan kemegahan negara.