HKHM 2026 l SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN UKM PUPUK SEMANGAT PATRIOTISME WARGA UNIVERSITI












HKHM 2026 l SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN UKM PUPUK SEMANGAT PATRIOTISME WARGA UNIVERSITI
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 dan Kibar Jalur Gemilang bertempat di Persada Canselori.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh.
Pada majlis ini, beliau telah menyampaikan amanatnya yang menegaskan bahawa pelan strategik TEKAD 57 bukan sekadar pelan untuk meningkatkan prestasi institusi bagi tempoh 2026 hingga 2030, malah ia adalah usaha bagi mempersiapkan generasi muda hari ini untuk memimpin negara menjelang sambutan 100 tahun kemerdekaan Malaysia pada tahun 2057.
Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’, sambutan ini disifatkan amat dekat dengan sejarah UKM sebagai universiti kebangsaan yang lahir daripada perjuangan bangsa pada 18 Mei 1970.
Dalam pada itu, UKM turut memperkenalkan satu paparan baharu di Persada Canselori yang memaparkan wajah tokoh-tokoh yang telah banyak berkorban demi merealisasikan penubuhan universiti ini.
Paparan tersebut merupakan tanda penghargaan kepada generasi terdahulu dan mengingatkan generasi kini, khususnya mahasiswa UKM, tentang tanggungjawab mereka untuk terus memperkukuh ilmu, memartabatkan Bahasa Melayu dan sentiasa bersedia mempertahankan kedaulatan negara melalui penguasaan ilmu pengetahuan, inovasi dan kelestarian sahsiah.
Melalui sambutan ini, UKM akan menganjurkan pelbagai program sepanjang bulan kemerdekaan termasuk kempen kibar Jalur Gemilang UKM dan Ekspedisi Kayak Merdeka.
Sebagai simbolik pelancaran kempen, kemuncak majlis menyaksikan penyerahan Jalur Gemilang oleh Naib Canselor kepada barisan pengurusan universiti serta wakil pelajar.
Selain itu, majlis turut dimeriahkan dengan acara perbarisan statik, nyanyian lagu-lagu patriotik termasuk lagu Jalur Gemilang, serta edaran bendera kenderaan staf bagi menyemarakkan lagi Kempen Kibar Jalur Gemilang di peringkat universiti.
Hadir sama, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan pengurusan tertinggi universiti.
Sumber: Facebook Universiti Kebangsaan Malaysia – UKM
#HKHM2026
#MalaysiaMADANI
#KesejahteraanDinikmati
#Merdeka360


