JOM LEPAK KL: SEMARAK MERDEKA DI PESTA MUDA MUDI, PASAR SENI!
August 14 @ 10:00 am - August 16 @ 10:00 pm

Hujung minggu ini, kalau anda mencari lokasi untuk lepak sambil menikmati suasana seni, budaya dan kreativiti tempatan, apa kata singgah ke Pesta Muda Mudi di Pasar Seni, Kuala Lumpur!
Bersempena sambutan Semarak Merdeka, Pesta Muda Mudi menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik dalam suasana penuh warna-warni di salah satu lokasi ikonik ibu kota.
Terokai pelbagai produk daripada usahawan dan jenama tempatan — daripada fesyen, aksesori, seni dan kraf, makanan dan minuman hinggalah wangian. Memang sesuai untuk yang gemar mencari barangan unik sambil menyokong bakat serta perniagaan tempatan.
Nak cuba sesuatu yang kreatif? Sertai Bengkel Seni pada 15 Ogos, Sabtu, jam 2.00 hingga 4.00 petang dengan aktiviti conteng, lukis, hias dan percuma. Tote bag dan apron yang dihias juga boleh dibawa pulang sebagai kenangan!
Suasana Pesta Muda Mudi turut dimeriahkan dengan persembahan seni sepanjang hujung minggu. Antaranya Tarian Citrawarna, Alunan Tabla & Veemai, Melodi Angklung, Rentak Busking serta aktiviti Lompat Tali Berirama.
Jangan lupa kumpulkan tiga cop mohor eksklusif Pesta Muda Mudi sepanjang kunjungan anda. Sambil berjalan dari satu sudut ke satu sudut, bolehlah menikmati sendiri kemeriahan komuniti muda yang berkumpul di tengah-tengah kota.
Dengan latar Pasar Seni yang sarat dengan sejarah dan identiti Kuala Lumpur, Pesta Muda Mudi menjadi ruang pertemuan antara warisan, seni, kreativiti dan komuniti — sekali gus memberi pengalaman hujung minggu yang berbeza di pusat bandar.
