DARI “MUHIBAH DAN PERPADUAN” KE “MALAYSIA MADANI: RAKYAT DISANTUNI”

Oleh Kee Lai Sien
keelaisien@inform.gov.my
Tema Hari Kebangsaan merujuk kepada ungkapan utama atau slogan rasmi yang dipilih oleh kerajaan untuk melambangkan semangat, aspirasi dan mesej bagi sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun. Pada peringkat awal sambutan Hari Kebangsaan, penganjuran acara banyak bergantung kepada tema yang telah ditetapkan sebagai asas pelaksanaan untuk menyuntik semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan masyarakat.
Di Malaysia, tradisi penetapan tema ini bermula pada tahun 1970, susulan daripada peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang menggugat kestabilan negara dan mencetuskan krisis perpaduan kaum yang serius. Kajian menunjukkan bahawa punca utama tercetusnya tragedi tersebut adalah akibat kelonggaran ikatan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini. Lantaran itu, buat julung kalinya pada tahun 1970, sambutan Hari Kebangsaan dirangka berteraskan satu tema khusus iaitu “Muhibah dan Perpaduan”.
Pengenalan tema ini merupakan langkah strategik kerajaan untuk memulihkan keharmonian yang terjejas, di samping memperkukuh ikatan antara kaum. Ia menjadi landasan penting ke arah pembentukan masyarakat Malaysia yang bersatu, bertoleransi dan hidup dalam semangat perpaduan.
Sepanjang era 1980-an dan 1990-an, tema seperti “Berdisiplin Berbakti”, “Bersatu Menuju Wawasan” dan “Nilai Murni Jayakan Wawasan” menunjukkan betapa pentingnya nilai-nilai murni serta visi jangka panjang negara. Tema pada awal abad ke-21 seperti “Keranamu Malaysia” menumpukan kepada semangat kebersamaan rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Tahun-tahun mutakhir pula memfokuskan tema yang lebih inklusif dan berorientasikan rakyat seperti “Malaysia Prihatin”, “Keluarga Malaysia: Teguh Bersama” dan tema Hari Kebangsaan tahun ke-68 bagi tahun ini ialah “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”.
Menurut buku “Tema dan Logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025” yang diterbitkan oleh Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan boleh didapatkan melalui https://dbook.penerangan.gov.my/dbook/, tema tahun ini merupakan satu cerminan visi kerajaan untuk memperkukuh pembangunan negara melalui pendekatan yang berasaskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan sosial dan keadilan.
Konsep “Malaysia MADANI” menggariskan prinsip keseimbangan antara kemajuan material dan kerohanian, merangkumi aspek pembangunan ekonomi, integriti tadbir urus serta perpaduan dalam kalangan rakyat. Penekanan terhadap tema “Rakyat Disantuni” pula memperlihatkan bukti komitmen kerajaan dalam mengutamakan kebajikan rakyat sebagai agenda utama pentadbiran negara.
Setiap tema yang diperkenalkan mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap perpaduan nasional, pembangunan insan dan kemajuan negara. Tema bukan sekadar slogan, tetapi lambang cita-cita murni untuk membina Malaysia yang bersatu padu, maju dan sejahtera dalam acuan sendiri serta akhirnya membentuk semangat patriotisme dalam diri rakyat terhadap negara.
Semangat patriotisme merupakan asas penting dalam pembentukan jati diri nasional dan kesejahteraan negara bangsa. Analisis semantik menunjukkan bahawa kempen penghayatan Bulan Kebangsaan bertema yang dilaksanakan oleh kerajaan bukan sahaja menyampaikan mesej patriotik, malah membawa implikasi komunikatif yang mendalam antara kerajaan dan rakyat.
Persoalannya, adakah tema Hari Kebangsaan merupakan kunci utama dalam memupuk semangat patriotik? Kita haruslah memahami bagaimana semangat patriotisme terbentuk dalam masyarakat. Profesor Ulung Shamsul Amri Baharuddin, seorang ahli antropologi sosial terkenal, telah memperkenalkan satu kerangka pemikiran penting yang menjelaskan hubungan antara pemerintah dan rakyat menerusi dua bentuk realiti sosial utama: realiti sosial takrifan autoriti (authority-defined social reality) dan realiti sosial takrifan harian (everyday-defined social reality).
Realiti sosial takrifan autoriti merujuk kepada dasar, garis panduan, serta kempen rasmi yang digerakkan oleh pihak kerajaan dalam usaha membentuk identiti nasional—termasuklah pengenalan tema Hari Kebangsaan saban tahun. Namun, ia hanya satu sisi daripada pembinaan semangat patriotik.
Sebaliknya, realiti sosial takrifan harian merujuk kepada cara rakyat menghayati makna kebangsaan melalui pengalaman hidup seharian. Ini dizahirkan melalui tindakan kreatif dan ekspresi bebas seperti menghasilkan puisi, lagu, vlog, dan video yang menggambarkan kecintaan kepada negara secara tulus dan sukarela, tanpa bergantung kepada kempen kerajaan atau tema rasmi semata-mata.
Oleh itu, meskipun tema Hari Kebangsaan mampu menjadi pemangkin, ia bukanlah kunci utama dalam menyemai semangat patriotik. Apa yang lebih penting ialah bagaimana rakyat secara berterusan menerapkan nilai-nilai kebangsaan dalam kehidupan harian mereka.
Keutuhan dan masa depan negara serta jatuh bangun bangsa kita terletak pada tanggungjawab bersama setiap rakyat untuk menentukannya. Inilah asas sebenar kepada pembentukan sebuah bangsa yang bersatu, berjiwa besar, dan benar-benar memahami makna kemerdekaan.
Selamat menyambut Hari Kebangsaan! Semoga dengan tema tahun ini, negara kita terus terbang tinggi ke persada dunia dengan rakyat yang bersatu, bersemangat dan penuh cinta akan tanah air tercinta.
Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penerbitan Dasar Negara,
Jabatan Penerangan Malaysia.