BUKAN HANYA PERCA KAIN YANG BERKIBAR

BUKAN HANYA PERCA KAIN YANG BERKIBAR

Oleh Saifulrizal Shariff
saifulrizal@inform.gov.my

Setiap kali angin meniup lembut di pagi bulan Ogos, hati kita seolah-olah bergetar melihat Jalur Gemilang berkibar megah di halaman rumah, di tepi jalan, sekolah-sekolah dan menara puncak bangunan tinggi. Dalam getar itu, terbit satu rasa yang sukar dijelaskan. Rasa bangga, rasa bersyukur, rasa hormat dan paling penting, rasa bertanggungjawab.

Kerana Jalur Gemilang bukan hanya secebis kain yang dijahit warna-warni. Ia adalah lambang maruah sebuah bangsa yang diperoleh hasil titik peluh dan keringat mereka yang pernah berjuang bermati-matian demi kesenangan dan kebebasan anak, cucu dan cicit mereka. Jalur Gemilang menceritakan kesatuan negeri-negeri, warna birunya lambang perpaduan, bulan dan bintang kuningnya simbol agama, kedaulatan dan kepimpinan berjiwa rakyat.

Pertama kalinya Jalur Gemilang dinaikkan secara rasmi pada 31 Ogos 1957 di Dataran Merdeka. Saat itu, semboyan “Merdeka!” oleh Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menggema sebanyak tujuh kali lantas menggentarkan hati ribuan rakyat yang berkumpul pada hari itu. Ia menandakan permulaan era baharu yang mana era yang penuh janji, impian dan tekad untuk membina sebuah negara yang berdaulat dan bersatu padu. Bendera itu bukan sekadar dihormati dan diraikan. Diangkat bukan kerana protokol tapi rasa cinta yang mendalam terhadap tanah air.

Hari ini, lebih 60 tahun telah berlalu sejak detik bersejarah itu. Malaysia kini negara moden dengan kepelbagaian budaya, kemajuan teknologi dan keberadaan generasi baharu yang penuh aspirasi. Namun, di tengah-tengah kemajuan itu semangat patriotisme tidak boleh pudar. Maka, kita kibarkanlah Jalur Gemilang bukan semata-mata untuk mematuhi arahan bulanan tetapi sebagai tanda kita masih teguh memegang janji kemerdekaan itu.

Hari ini pada tahun 2025, tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia ialah “Malaysia MADANI : Rakyat Disantuni”. Tema ini bukan sekadar ungkapan manis tetapi satu falsafah kehidupan yang menekankan nilai-nilai murni seperti keadilan, ihsan, hormat, kesejahteraan dan kemampanan. MADANI ialah rangka kerja yang menuntut kita menjadi rakyat yang bukan sahaja bebas tetapi memiliki rasa bertanggungjawab yang tinggi. Bak kata sesetengah orang, bukan hanya hebat bersuara tetapi hebat menyumbang pada negara.

Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bukanlah sekadar perarakan tentera, persembahan kebudayaan atau lagu patriotik yang bergema di udara. Acara tahunan ini adalah manifestasi rasa cinta terhadap tanah air dalam pelbagai bentuk. Lihat sahaja usaha anak muda yang menghasilkan filem pendek bertemakan perpaduan, kesukarelawanan yang membantu warga emas menggantung bendera atau pelajar sekolah yang menghafal lirik lagu patriotik dengan penuh semangat. Semua ini mencerminkan satu hakikat penting bahawa kecintaan kita terhadap negara tidak memerlukan pangkat atau kuasa. Ia hendaklah bermula dengan kesedaran dan tindakan sekecil apa pun.

Suasana global yang semakin mencabar hari ini seperti krisis iklim atau gelombang maklumat palsu serta konflik identiti, menandakan bendera negara perlu menjadi titik penyatuan semua rakyat Malaysia. Jalur Gemilang bukan hanya lambang kenegaraan tetapi penanda arah kepada nilai kebersamaan yang harus kita pegang. Kita seharusnya melangkaui sempadan bangsa dan agama untuk menuju ke arah masyarakat yang saling hormat-menghormati.

Sayangnya, masih wujud sikap sambil lewa terhadap lambang-lambang kebesaran negara. Ada yang menggantung bendera secara terbalik, membiarkannya lusuh atau ada sesetegahnya mempermainkan lagu kebangsaan. Perkara seperti ini bukan soal kecil tetapi mencerminkan sejauh mana kita menghormati sejarah, identiti dan masa depan kita. Maka, di sinilah peri pentingnya pemupukan pendidikan dan kesedaran awam.

Sebagai contoh, kempen Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang anjuran Kementerian Komunikasi adalah inisiatif yang tepat pada waktunya. Melalui media sosial, video kreatif, pertandingan di sekolah-sekolah dan jelajah komuniti menampakkan rakyat diberi pendedahan mengenai cara menghormati bendera, jata negara serta lagu kebangsaan. Ini bukan soal patriotik semata-mata tetapi untuk membina budaya hormat dan tanggungjawab yang tulen.

Usaha menyantuni rakyat turut diterjemah melalui pelbagai kaedah antaranya penggunaan Jalur Gemilang digital di mana rakyat boleh memaparkan bendera melalui telefon pintar atau latar belakang maya sebagai tanda sokongan dan penyertaan. Kemudahan teknologi pada hari ini menunjukkan bahawa walaupun zaman berubah makna kebangsaan itu tetap kekal dan boleh disesuaikan dengan teknologi serta gaya hidup moden.

Maka dalam kita menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini perlu kembalikan makna sebenar bendera itu kepada keluarga, saudara-mara, rakan-rakan, jiran dan seluruh rakyat Malaysia amnya. Kita hendaklah ingat bahawa bendera bukan hanya sebagai bahan hiasan tetapi simbol penting dengan nilai perjuangan, kesetiaan dan perpaduan. Jadikan Jalur Gemilang itu milik hati kita selama-lamanya.

Kita perlu sedar bahawa bendera itu bukan sehelai kain yang berkibar. Jalur Gemilang adalah denyut nadi perjuangan bangsa dan gema laungan kemerdekaan yang terus hidup dalam darah kita.

Dan, selagi Jalur Gemilang itu berkibar di sekolah, pejabat, stadium atau di dada rakyat selagi itulah semangat Malaysia tidak akan mati. Kibarkan bendera dengan bangga. Hayati maknanya dengan jiwa. Pertahankannya dengan tindakan.

Kerana Jalur Gemilang bukan hanya milik sejarah tetapi milik masa depan.

Penolong Pengarah, Bahagian Penerbitan Dasar Negara,
Jabatan Penerangan Malaysia