HKHM 2026 l PROGRAM KEMBARA MERDEKA JALUR GEMILANG (KMJG) 2026 DAERAH MEMBAKUT






HKHM 2026 l PROGRAM KEMBARA MERDEKA JALUR GEMILANG (KMJG) 2026 DAERAH MEMBAKUT
MEMBAKUT : Hubungan komuniti amat penting dalam menyebarluaskan maklumat dasar kerajaan kepada masyarakat setempat.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, komuniti merupakan medium pengantara paling mudah dan berkesan serta mampu menyalurkan maklumat kerajaan kepada masyarakat setempat dengan lebih luas.
“Setiap agensi kerajaan sewajarnya mengambil pendekatan dengan menjadikan komuniti di setiap kawasan masing-masing sebagai rakan strategik kerana mereka antara medium terbaik dan terdekat dalam menyebarkan mesej dan kegiatan organisasi.
“Hubungan baik bersama komuniti juga secara tidak langsung mengukuhkan semangat perpaduan, kekitaan dalam kalangan masyarakat dengan agensi kerajaan.
“Seperti program hari ini, maklumat berkaitan dasar kerajaan serta pembangunan dapat disampaikan secara terus kepada masyarakat, sekaligus mendorong mereka melibatkan diri bersama dalam agenda pembangunan kerajaan yang dilaksanakan.
“Saya berharap setiap Komuniti MADANI yang ditubuhkan di daerah ini akan terus proaktif membantu kerajaan dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih,” katanya semasa merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026, di Tapak Tamu Rabu Pekan Membakut, di sini pada Sabtu.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pegawai Daerah Membakut, Yuesri Ismail Yusof.
Dalam pada itu, beliau menyeru kepada semua masyarakat agar mengambil bahagian dan turut sama menyemarakkan dan menggelorakan Bulan Kebangsaan, Hari Malaysia dan Hari Sabah dengan menjayakan Kempen 1 Rumah, 1 Jalur Gemilang (1R1JG).
“Kita semarakkan semangat patriotik dengan menjayakan kempen 1R1JG, agar kehangatan sambutan bulan kemerdekaan dapat dirasai di setiap jiwa, ahli keluarga serta semua masyarakat di negeri ini.
“Hiasilah rumah, pejabat, sekolah dan kenderaan kita dengan Jalur Gemilang dan biarkan ia terus berkibar sepanjang bulan kebangsaan untuk melambangkan semangat patriotisme yang tidak pernah pudar dalam jiwa kita,” ujarnya.
Seramai 200 orang hadir pada program tersebut bagi memeriahkan sambutan KMJG manakala sebanyak 12 rakan strategik turut mengambil bahagian dalam menyampaikan perkhidmatan antaranya Majlis Daerah Membakut, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAINS), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Pejabat Kesihatan Daerah Beaufort dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Konvoi KMJG 2026 Peringkat DUN Membakut yang diketuai Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Azman Sipan bersama 20 peserta konvoi kemudiannya menaiki kereta api dari Stesen Membakut ke Stesen Bongawan sekaligus mengedarkan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah kepada penumpang sebelum meneruskan perjalanan ke hentian yang seterusnya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Beaufort, DSP Mail Sundongi, Pegawai Eksekutif Daerah, Jhon Ghencit dan Ketua Daerah, OKK Awangku Lampoh Pengiran Simpol./Penerangan-
#HKHM2026
#MalaysiaMADANI
#KesejahteraanDinikmati
#Merdeka360


