HKHM 2026 l MENTERI KOMUNIKASI LEPASKAN KONVOI KMJG X JAGO 2026, BAWA MESEJ UNGKAP PATRIOTISME MASYARAKAT IBU KOTA


















HKHM 2026 l MENTERI KOMUNIKASI LEPASKAN KONVOI KMJG X JAGO 2026, BAWA MESEJ UNGKAP PATRIOTISME MASYARAKAT IBU KOTA
KUALA LUMPUR, 23 Ogos 2026 – YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi telah merasmikan pelepasan (flag-off) Program ‘Kembara Merdeka Jalur Gemilang X JAGO’ (KMJG X JAGO) Tahun 2026, Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (WPKLP) bertempat di Pasar Taman Sri Sentosa, Lembah Pantai.
Konvoi ini turut dimeriahkan dengan penglibatan 10 buah kenderaan dan 35 orang peserta daripada tujuh (7) agensi kerajaan, iaitu Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Radio Televisyen Malaysia (RTM / KLfm), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Program KMJG X JAGO 2026 Peringkat WPKLP merupakan inisiatif turun padang secara bersepadu bagi mendekati masyarakat setempat. Ia bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme menerusi Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG). Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan kesedaran awam agar amalan mengibarkan Jalur Gemilang dijadikan simbol perpaduan, kebanggaan, dan kecintaan kepada negara, sekali gus memeriahkan lagi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM 2026).
Konvoi kali ini melintasi laluan sepanjang tujuh (7) lokasi utama, bermula dari Pasar Taman Sri Sentosa dan bergerak ke Taman Tasik Metropolitan Kepong, Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh, Hospital Rehabilitasi Cheras, PETRONAS Cochrane Perkasa NZ Curry House, dan berakhir di Wangsa Maju.
Majlis penutup di lokasi terakhir diserikan dengan pelbagai aktiviti kebudayaan dan masyarakat, termasuk persembahan Kompang, Gendang India, Gendang Cina, Penyerahan Kit Jalur Gemilang serta Persembahan PENTARAMA @JAGO.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Pengarah JAPEN WPKLP, Normaizatulakmal Tujad. Turut hadir, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Setiawangsa, Dato’ Afdlin Shauki Aksan dan Ketua-ketua Komuniti MADANI WPKLP.
#HKHM2026
#MalaysiaMADANI
#KesejahteraanDinikmati
#Merdeka360


