HKHM 2026 I KMJG SEMARAKKAN PATRIOTISME MENERUSI KLUSTER RUMAH IBADAT DI SIPITANG

HKHM 2026 l KMJG SEMARAKKAN PATRIOTISME MENERUSI KLUSTER RUMAH IBADAT DI SIPITANG

SIPITANG1 (1)
SIPITANG2 (1)
SIPITANG3 (1)
SIPITANG5 (1)
SIPITANG6
SIPITANG.7

HKHM 2026 l KMJG SEMARAKKAN PATRIOTISME MENERUSI KLUSTER RUMAH IBADAT DI SIPITANG

Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) meneruskan jelajahnya ke Daerah Sipitang menerusi Program 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) Kluster Rumah Ibadat bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan memperluaskan kempen pengibaran Jalur Gemilang.

Suasana di Masjid Haji Abdullah, Kg Lumut, menjadi saksi penyatuan komuniti apabila program dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti bacaan Surah Yasin dan doa selamat yang dipimpin Imam masjid, Osman Matusin. Selepas solat Isyak, para jemaah meneruskan pengisian dengan bacaan Surah Al-Mulk sebagai pengisian kerohanian yang menyemarakkan lagi majlis.
 
Kemuncak program menyaksikan Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, menyampaikan kit Jalur Gemilang kepada Pengerusi Masjid Haji Abdullah, Kg Lumut, Ali Amat Sunting sebagai simbolik penyertaan institusi rumah ibadat di sini, pada Khamis.
 
Pada majlis tersebut, Pegawai Penerangan Daerah (PPD) Sipitang, Suhaimie Sahirul, turut memberi penerangan tatacara penggunaan dan pengibaran Jalur Gemilang dengan menekankan kepentingan menghormati bendera kebangsaan sebagai lambang kedaulatan negara dan memastikan penggunaannya mematuhi garis panduan ditetapkan.

Penganjuran Kluster Rumah Ibadat merupakan pengisian baharu dalam Kempen 1R1JG tahun ini bagi memperluaskan penyertaan masyarakat menerusi institusi keagamaan. Pendekatan itu diharap dapat menyemai semangat cintakan negara, memperkukuh perpaduan dan menggalakkan pengibaran Jalur Gemilang secara lebih meluas dalam kalangan rakyat.

Konvoi KMJG yang memulakan jelajahnya pada 1 Ogos lalu akan terus menjelajah ke seluruh daerah di Sabah dengan pelbagai pengisian bersama komuniti sepanjang Sambutan Bulan Kebangsaan. Selain mengedarkan Jalur Gemilang, program itu turut menjadi platform menyampaikan mesej kenegaraan serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Hadir sama, Pegawai Tadbir Agama Daerah Sipitang, DK Noorasrianna Pg Mohd Nooh, ⁠Penasihat Masjid Haji Abdullah, Kg Lumut, Kasim Karim serta Komuniti MADANI Daerah Sipitang.
/Penerangan-
 

Sumber: Jabatan Penerangan Negeri Sabah

#HKHM2026

#MalaysiaMADANI
#KesejahteraanDinikmati
#Merdeka360  

🇲🇾🇲🇾🇲🇾🇲🇾🇲🇾🇲🇾🇲🇾🇲🇾🇲🇾🇲🇾