APABILA TRIPPI TROPPI LEBIH DIKENALI DARIPADA TOKOH KEMERDEKAAN

APABILA TRIPPI TROPPI LEBIH DIKENALI DARIPADA TOKOH KEMERDEKAAN

Oleh Kee Lai Sien

e-mel: keelaisien@inform.gov.my

Petang itu berlangsung seperti hari-hari sebelumnya— rumah dipenuhi sunyi yang damai selepas waktu persekolahan. Anak saya pulang dan terus menuju ke meja kecil di ruang tamu, tempat dia sering menghabiskan waktunya melukis dan menconteng di buku skrapnya. Tidak lama kemudian, dia memanggil saya untuk melihat hasil lukisannya.

“Ada makhluk berwajah kucing berbadan udang, jet tempur dengan mulut buaya yang menganga…”

Apa yang terpampang di atas kertas bukanlah pemandangan biasa. Ada makhluk berwajah kucing berbadan udang, jet tempur dengan mulut buaya yang menganga, serta figura manusia berkepala cawan kopi. Di setiap satu, tertulis nama-nama yang pelik dan luar biasa—Trippi Troppi, Bombardiro Crocodilo, Ballerina Cappuccina.
Ia ganjil, tapi tidak mengelirukan. Dunia anak-anak memang sering penuh imaginasi. Namun, ada sesuatu yang membuat saya ingin tahu lebih jauh. Saya lalu menggeledah telefon bimbit dari beg tangan saya untuk mencari nama-nama yang pelik itu dan saya temui jawapan.

Lakaran tersebut bukannya dari imaginasi tetapi berdasarkan gambaran yang dikenali sebagai Italian Brainrot. Ia merupakan satu tren budaya digital yang berpunca dari platform seperti TikTok dan Instagram. Watak-watak aneh ini dicipta dengan menggunakan kecerdasan buatan atau gelarannya dalam bahasa Inggeris, Artificial Intelligence (AI). Watak-watak ini diberi latar belakang yang tidak masuk akal, dan disebarkan dengan visual serta muzik yang aneh tetapi memikat.

“Anak-anak kita bukan tidak cerdas…”

Namun, yang paling mengesankan saya bukanlah kemunculan watak-watak ini, tetapi daya hafalan anak saya terhadap nama-nama tersebut. Dia dan rakan-rakannya mengingati butiran setiap watak dengan tepat, malah mencipta kuiz untuk menguji pengetahuan mereka.

Saya tidak dapat mengelak daripada membandingkan perkara ini dengan pelajaran sejarah yang sering menjadi keluhan utama. Nama seperti Tok Janggut, Mat Kilau atau Dato’ Maharajalela dianggap sukar, membosankan, dan tidak relevan. Sedangkan mereka itu adalah manusia sebenar, tokoh yang pernah mengangkat senjata demi tanah air ini—bukan sewenang-wenangnya rekaan digital.

Anak-anak kita bukan tidak cerdas. Mereka hanya tidak dijemput masuk ke dalam cerita yang sesuai dengan dunia mereka. Sejarah kini hadir sebagai beban hafalan, bukan pengalaman yang membentuk jiwa. Dalam zaman digital, naratif yang menang bukan yang benar semata-mata, tetapi yang disampaikan dengan cara yang menarik perhatian.

“Jika mereka boleh tertawa melihat Trippi Troppi, mengapa tidak mereka terangsang dengan kisah Tok Janggut?”

Ini mengingatkan kita bahawa kita perlu lebih teliti dan membimbing anak-anak kita dalam dunia digital yang serba pantas ini. Perkongsian kandungan yang dicipta boleh menghiburkan tetapi pada masa yang sama, ia boleh juga mengelirukan atau menyinggung perasaan seseorang. Malah, adakah generasi muda mampu berfikir secara kritis dan menggunakan teknologi dan media sosial dengan sewajarnya?

Fenomena Italian Brainrot membuktikan bahawa generasi muda mempunyai kemampuan untuk memahami dan menyukai sesuatu yang kompleks—jika disampaikan dengan cara yang menarik dan sesuai dengan budaya semasa. Di sebalik jenaka dan keanehan itu, ada satu pelajaran penting: minat bukan soal kandungan semata-mata, tetapi soal bentuk dan pendekatan.

Dalam konteks ini, teknologi bukan musuh. Ia boleh menjadi alat. Jika mereka boleh tertawa melihat Trippi Troppi, mengapa tidak mereka terangsang dengan kisah Tok Janggut? Jika mereka menghafal Ballerina Cappuccina, mengapa tidak mereka mengingati pahlawan negara? Sebagai rakyat Malaysia, kita juga memainkan peranan untuk mendidik generasi muda tentang kepentingan sejarah dan memupuk semangat patriotisme.

“Watak-watak tokoh kemerdekaan boleh dihidupkan semula dalam bentuk yang mesra digital”

Sudah tiba masa untuk merangka semula cara kita menyampaikan sejarah. Watak-watak tokoh kemerdekaan boleh dihidupkan semula dalam bentuk yang mesra digital—animasi, kuiz interaktif, naratif visual yang boleh dinikmati melalui peranti mudah alih. Seperti mana Italian Brainrot memikat dunia dengan keanehannya, Malaysia Brainboom boleh diwujudkan untuk membangkitkan minat terhadap sejarah dan patriotisme.

Teringatlah saya satu platform digital (https://dbook.penerangan.gov.my/dbook/) yang sering saya gunakan sebagai rujukan berilmiah bagi topik-topik kenegaraan. Platform itu mencerminkan usaha kerajaan untuk menarik perhatian khalayak masyarakat, terutamanya generasi muda demi memahami sejarah.

Semangat kemerdekaan bukan hanya tentang mengingati tarikh atau mengibarkan Jalur Gemilang. Ia adalah tentang memahami siapa kita, dari mana kita datang, dan mengapa tanah air ini perlu terus dipertahankan—dalam apa jua bentuk perjuangan yang kita hadapi hari ini.

Anak saya masih melukis. Di atas meja kecilnya, dunia baru terus berkembang. Saya hanya berharap, suatu hari nanti, watak yang muncul dari pensel warnanya bukan sahaja Trippi Troppi, tetapi juga seseorang bernama Tok Janggut—bukan sebagai sejarah yang dilupakan, tetapi sebagai wira yang diingati. 

Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penerbitan Dasar Negara,
Jabatan Penerangan Malaysia.