KE MANA HILANGNYA PATRIOTISME?

KE MANA HILANGNYA PATRIOTISME?

Oleh Ahmad Syakir bin Mohamed
syakir@inform.gov.my

Setiap kali menjelang tanggal 31 Ogos, Jalur Gemilang mula berkibar megah di bangunan dan kenderaan, lagu-lagu patriotik berkumandang di radio, televisyen dan media sosial, menyemarakkan semangat cinta akan tanah air. Semangat sambutan jelas kelihatan di sana sini, namun persoalan penting yang perlu kita renungkan bersama, benarkah semangat patriotisme masih utuh dalam jiwa rakyat Malaysia, khususnya dalam kalangan generasi muda? Atau sebenarnya kita sedang menyaksikan fasa perlahan-lahan pudar, satu kehilangan nilai yang dahulunya menjadi nadi perjuangan bangsa?

Hakikatnya, negara kita telah mencapai kemerdekaan sejak lebih enam dekad yang lalu. Namun dalam suasana hari ini, kita semakin gusar melihat betapa kurangnya kepekaan generasi muda terhadap sejarah negara. Ramai dalam kalangan mereka tidak lagi mengenali wajah-wajah penting yang pernah mengangkat martabat tanah air daripada cengkaman penjajah. Apabila ditanya tentang tokoh kemerdekaan seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun V.T. Sambanthan atau tokoh-tokoh tempatan di negeri masing-masing, ramai yang hanya menggeleng tanpa jawapan.

Lebih membimbangkan, ada pula yang menganggap sejarah kemerdekaan sebagai sesuatu yang membosankan dan tidak relevan dengan kehidupan masa kini. Inilah antara petanda awal lunturnya semangat patriotisme dalam kalangan rakyat. Jika tidak dibendung, kita bimbang akan melahirkan generasi yang hidup di bumi merdeka tetapi tidak mengenal erti kemerdekaan itu sendiri.

Antara punca utama yang menyebabkan semangat patriotisme semakin pudar dalam kalangan generasi muda adalah pendidikan sejarah yang terlalu berorientasikan peperiksaan semata-mata. Pelajar lebih tertumpu untuk menghafal fakta demi peperiksaan, bukan untuk memahami dan menghargai pengorbanan generasi terdahulu. Selain itu, pengaruh globalisasi yang semakin meluas turut memainkan peranan besar. Generasi muda kini lebih terdedah kepada budaya luar yang dianggap lebih menarik berbanding budaya tempatan, sekali gus menyebabkan mereka kurang menghargai warisan negara sendiri.

Selain itu, gaya hidup moden juga memainkan peranan. Generasi muda mungkin lebih terdedah kepada budaya asing dan kurang didedahkan kepada nilai-nilai tradisi dan semangat kebersamaan yang menjadi tunjang masyarakat Malaysia. Masih terdapat ruang untuk memperkukuh penglibatan pelajar dalam aktiviti kemasyarakatan berteraskan patriotisme di luar bilik darjah seperti lawatan ke tempat bersejarah di negeri masing-masing kerana setiap negeri mempunyai peristiwa berkaitan kemerdekaan dan warisan sejarah, demi merapatkan jurang kefahaman tentang jati diri dan semangat kebangsaan. Inisiatif seperti ini dapat membuka mata dan hati mereka terhadap kepelbagaian sejarah yang membentuk negara tercinta.

Pengaruh negatif daripada media sosial dan penyebaran maklumat palsu atau naratif yang memecahbelahkan juga boleh mengikis semangat patriotisme. Apabila wujud usaha untuk menyelewengkan fakta sejarah atau menyemai keraguan terhadap asas negara, ia secara tidak langsung meracuni minda generasi muda dan menyebabkan mereka kurang menghargai apa yang telah dibina oleh pejuang kemerdekaan.

Kurangnya teladan yang baik daripada golongan dewasa juga menjadi penyebab penting lunturnya patriotisme. Apabila generasi dewasa sendiri kurang menunjukkan rasa hormat kepada simbol kebangsaan atau tidak mempamerkan rasa bangga terhadap sejarah negara, generasi muda akan mudah terpengaruh dengan sikap sambil lewa tersebut.

Untuk mengembalikan semula semangat patriotisme dalam jiwa generasi muda, kita perlu mengorak langkah yang lebih segar dan menyentuh hati. Pertama, pendidikan sejarah di sekolah mesti diberi nafas baharu. Bukan sekadar menghafal fakta, sebaliknya biarlah pelajar benar-benar menghayati perjuangan tokoh-tokoh negara melalui kaedah yang lebih interaktif dan penuh emosi. Kita perlu membawa mereka menyusuri tapak-tapak perjuangan, mendengar kisah-kisah penuh inspirasi, dan melihat sendiri bukti pengorbanan yang telah dilakukan demi negara tercinta.

Kedua, peranan media sangat penting dalam menyemarakkan semangat patriotik. Media tidak seharusnya sekadar melaporkan sambutan rasmi semata-mata, tetapi perlu menghasilkan kandungan kreatif yang mampu menyentuh perasaan. Dokumentari, filem pendek, dan iklan patriotik yang menyampaikan mesej perjuangan dengan mendalam boleh meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati generasi muda.

Ketiga, keluarga dan komuniti harus memainkan peranan lebih besar dalam mendidik generasi muda. Ibu bapa perlu menanamkan rasa bangga kepada anak-anak mereka terhadap negara sejak kecil lagi. Mereka perlu bercerita tentang sejarah kemerdekaan dengan penuh rasa hormat dan kecintaan, bukan sebagai satu subjek yang hambar. Program-program komuniti yang mengajak semua lapisan masyarakat berkumpul dan mengenang jasa pejuang terdahulu perlu dihidupkan kembali.

Akhir sekali, kita harus sedar bahawa kehilangan semangat patriotisme bukan sahaja menyebabkan sejarah negara dilupakan, malah membawa kesan buruk kepada masa depan negara. Tanpa semangat patriotik, perpaduan masyarakat akan mudah goyah, rasa hormat terhadap institusi negara akan luntur, dan kesediaan untuk berkorban demi negara juga akan hilang. Akhirnya, kita mungkin terdedah kepada ancaman dalaman dan luaran, yang boleh menggugat kestabilan dan kedaulatan negara. Justeru, marilah kita bersama-sama memastikan api patriotisme terus menyala dalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Hanya dengan semangat patriotisme yang tinggi, kita mampu menjamin kemerdekaan dan keamanan yang berpanjangan untuk generasi akan datang.

Penolong Pengarah, Bahagian Penerbitan Dasar Negara,
Jabatan Penerangan Malaysia