MEMBARA JIWA PATRIOTIK

Oleh Melatie binti Aziz
melatie@inform.gov.my
Jalur Gemilang mula berkibar dengan rancaknya di tepi jalan raya, sekolah, kenderaan awam atau persendirian, bangunan kerajaan dan swasta. Mungkin ketika ini juga masa sesuai menggantikan Jalur Gemilang dengan fabrik yang baharu bagi memelihara kesempurnaan rupa bentuk dan warnanya sebagai lambang kedaulatan negara.
Seiring dengan kerancakan kibaran Jalur Gemilang, sudah pasti kita dapat rasa kehangatan sambutan bulan kebangsaan dan kibar Jalur Gemilang yang diraikan dengan meriah serta penuh pengertian bahawa sejarah negara perlu diulang sebut dan disampaikan kepada generasi demi generasi agar tidak luput daripada ingatan serta tidak lenyap dalam lembaran catatan.
Ini bukan berkaitan sebuah rindu dendam terhadap penaklukan silam, tetapi usaha kita dalam meneguhkan identiti dan jati diri bangsa dengan membina kefahaman kolektif rakyat tentang pengorbanan, perjuangan serta kemenangan rakyat terdahulu untuk keluar daripada dasar kolonialisme selama 446 tahun, satu tempoh yang menjadikan negara antara yang terlama dijajah di dunia.
Tanpa mengulang sebut, sejarah mudah dilupakan. Apabila kita lupa, kita cenderung untuk mengulangi kesilapan sama. Kini, setelah 68 tahun, daripada zaman baby boomers ke generasi alpha, penghayatan terhadap kisah sejarah ini masih mendirikan bulu roma dan membarakan semangat patriotik dalam sanubari setiap warganegara, justeru dengan menyebut-nyebut sejarah, bukan hanya mengenang sebuah kenangan, tetapi untuk panduan agar masa hadapan dibina dengan lebih bijaksana.
Dasar kolonialisme oleh kuasa asing membentuk satu demografi unik ke atas Tanah Melayu. Komuniti Melayu, Cina dan India membuktikan yang kita dapat hidup bersama secara aman dalam gabungan Persekutuan Tanah Melayu seterusnya bergabung dengan Sabah serta Sarawak membentuk Malaysia yang kita ada pada hari ini.
Namun, usaha mempertahankan penyatuan rakyat ini menuntut tidak sedikit pengorbanan daripada setiap individu. Hasil permuafakatan antara rakyat dicapai melalui pembentukan Perlembagaan Malaysia yang disempurnakan dengan lafaz ikrar lima prinsip Rukun Negara dan dipererat menerusi Dasar Perpaduan Negara melestarikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Menyedari usaha memperkukuh perpaduan mempunyai kesan snowball dalam menjamin kestabilan dan pertumbuhan negara untuk jangka panjang, usaha menggelorakan semangat kebangsaan dalam kalangan rakyat tidak boleh tertumpu pada tanggal 31 Ogos sahaja.
Peluncuran bulan kebangsaan dan kibar Jalur Gemilang yang menjadi ritual bagi sambutan Hari Kebangsaan pada asalnya sekadar menaikkan bendera sebagai simbolik kemerdekaan negara. Kini, sambutannya lebih besar dengan pengisian pelbagai aktiviti yang melibatkan seluruh rakyat Malaysia di peringkat negeri, daerah dan komuniti.
Program yang dijalankan sekitar Julai setiap tahun ini bagi membangkitkan semangat cinta kepada negara dan memperingati perjuangan pemimpin terdahulu dalam mencapai kemerdekaan.
Dalam hal ini, Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, menggerakkan pasukan serta rakan strategiknya dalam Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025) untuk menterjemahkan makna sambutan program ini.
Penganjuran acara ini menandakan permulaan penting kepada pelaksanaan program dan aktiviti kenegaraan yang menyemai semangat patriotisme dalam jiwa anak bangsa di seluruh pelosok tanah air.
Inilah yang menjadi teras utama Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) di bawah Kementerian Komunikasi dalam usaha memperluas penyebaran maklumat kenegaraan demi memperkukuh semangat patriotisme dan jati diri rakyat.
Bertempat di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor, Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 diadakan dari 25 hingga 27 Julai. Ia disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Ia akan melakukan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 yang membabitkan aset pengangkutan darat dan air daripada pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), JAPEN, Jabatan Laut Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, jabatan dan agensi kerajaan negeri Johor, Kelab Permotoran BMW K16 Johor, Grab, Food Panda, Misi Rakyat dan Pos Malaysia.
Selari dengan tema sambutan HKHM 2025 iaitu Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, pelbagai program dan aktiviti menarik kepada pengunjung, antaranya Karnival Kita MADANI membawakan Jualan RAHMAH MADANI, Jualan Agro MADANI, Jualan Kasih Johor, diskaun saman trafik sehingga 30 peratus, pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma, perkhidmatan kerajaan dibawakan terus kepada rakyat, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan persembahan hiburan.
Turut diadakan Permukiman Komuniti MADANI yang akan menghimpunkan 2,300 ahli dari seluruh negara. Komuniti MADANI adalah penggerak komunikasi khususnya dalam menyampaikan maklumat tepat mengenai dasar negara dan mengumpulkan maklum balas rakyat selain bertanggungjawab memupuk nilai murni dan perpaduan di peringkat komuniti. Tidak hanya menumpukan kepada sesi percambahan minda, khidmat melalui program Bakti Komuniti MADANI akan diberikan ke kawasan yang ditetapkan.
Penduduk Muar dan kawasan sekitar dijemput beramai-ramai untuk menyertai Merdeka 6.8KM Fun Run & Walk. Untuk info lengkap berkenaan penyertaan dan aktiviti sepanjang program Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025, pengunjung disaran untuk melayari www.merdeka360.my.
Ayuh! kibar Jalur Gemilang sebagai luahan rasa cinta kepada negara. Jom sokong Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang.
Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia