RAJA DAN RAKYAT: BAGAI CINCIN DENGAN PERMATA

Oleh: Nur Humaira binti Arizan
Pelajar Latihan Industri, Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia
Menjelang sambutan Hari Kebangsaan yang ke-68, kita kembali diingatkan bahawa kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini bukan sahaja perjuangan berbekalkan senjata tetapi juga berpaksikan kebijaksanaan serta persepakatan utuh antara raja dan rakyat. Institusi diraja telah menjadi tonggak utama yang menyatukan pelbagai bangsa dan agama di bawah payung yang sama setelah sekian lama. Buktinya dapat kita perhatikan empayar Kesultanan Melayu Melaka berdiri megah kerana taat setia rakyat kepada rajanya pada 600 tahun yang lalu. Menelusuri konteks hubungan institusi diraja dan rakyat di Malaysia pada hari ini juga dapat kita gambarkan seperti peribahasa bagai cincin dengan permata.
Cincin tidak akan berseri tanpa permata, permata pula tidak akan utuh tanpa sokongan cincin yang memegangnya. Begitulah juga raja dan rakyat. Sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia bukan sekadar satu simbol tetapi membawa maksud yang lebih mendalam. Institusi ini melambangkan keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan demokrasi. Yang di-Pertuan Agong menjadi lambang kedaulatan, ketaatan, perpaduan, kebesaran dan kemuliaan negara atau dengan kata lain, berperanan sebagai tonggak kepada simbol perpaduan melangkaui kaum di negara ini.
Baginda akan memimpin, melindungi dan menjaga kebajikan rakyatnya. Malah, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan kewajipan raja untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak. Jelaslah bahawa raja bukan sekadar bersemayam di atas takhta, tetapi turut memikul amanah besar demi kesejahteraan seluruh rakyat jelata. Sebagai balasan, rakyat pula wajib menumpahkan taat setia dan menjunjung titah perintah baginda dengan penuh rasa hormat.
Hal ini termaktub dalam prinsip rukun negara kedua iaitu kesetiaan kepada raja dan negara. Prinsip ini merangkumi komitmen dan tanggungjawab setiap warganegara untuk mempertahankan dan melindungi kedaulatan negara serta menghormati institusi raja sebagai ketua negara. Mengimbas kembali situasi mencabar yang melanda negara pada tahun 2020 iaitu keadaan negara yang sedang bergelut dengan pandemik COVID-19, nilai kesetiaan ini menjadi landasan kukuh dalam menghadapi cabaran. Yang di-Pertuan Agong bersama dengan perdana menteri telah memutuskan keputusan penting demi menangani krisis kesihatan, ekonomi dan politik secara menyeluruh.
Sebagai rakyat, kita bertanggungjawab untuk mematuhi segala ketetapan yang dilaksanakan demi kesejahteraan bersama. Kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam menangani kemelut politik negara ketika itu menjadi bukti jelas peranan besar institusi diraja dalam menjaga kestabilan nasional. Setiap keputusan yang dibuat perlu mengambil kira kesan jangka panjang terhadap masa depan negara. Pada masa yang sama, rakyat turut memikul tanggungjawab untuk menyumbang kepada kemajuan negara melalui peningkatan produktiviti dan mutu kerja yang berkualiti.
Tuntasnya, benarlah hubungan raja dan rakyat merupakan dua entiti yang saling melengkapi bagai cincin dan permata yang tidak akan sempurna tanpa kedua-duanya. Institusi diraja bukan sekadar lambang tradisi atau warisan sejarah, malah merupakan teras penting dalam membina kestabilan, keharmonian, dan identiti negara.
Raja berperanan sebagai ketua negara yang menjaga keluhuran perlembagaan, memastikan keadilan sosial serta memelihara hak dan kepentingan semua kaum. Rakyat pula memikul amanah besar dalam menjayakan misi dan aspirasi negara. Kesetiaan kepada raja dan negara seperti yang termaktub dalam rukun negara bukanlah sekadar lafaz kosong, tetapi perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan menerusi usaha membangunkan negara dan memelihara perpaduan. Oleh itu, dalam menghadapi masa depan yang mencabar, raja dan rakyat perlu terus berganding bahu bagi memastikan Malaysia terus gemilang di persada dunia.