MASYARAKAT MADANI MASYARAKAT HARMONI

MASYARAKAT MADANI MASYARAKAT HARMONI

Oleh Umi Nur Qurotul Aini binti Mohd Shafawi
quorotulaini@inform.gov.my

Malaysia ialah sebuah negara yang unik terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya. Perbezaan ini tidak menjadi satu kelemahan tetapi satu kekuatan bagi membentuk masyarakat yang kaya dengan tradisi dan identiti tersendiri. Masyarakat MADANI merujuk kepada masyarakat yang beradab, sopan dan menjalani kehidupan yang teratur berlandaskan nilai-nilai murni. MADANI sering dikaitkan dengan usaha membangunkan negara Islam yang menekankan pembinaan peradaban masyarakat. Nilai peradaban seperti perpaduan, keadilan sosial, tadbir urus yang baik dan penglibatan aktif rakyat menjadi pemangkin kepada pembentukan sebuah masyarakat aman dan harmoni.

Konsep masyarakat MADANI bukanlah sesuatu yang baharu. Ia berasal daripada perkataan ‘madaniyah’ yang bermaksud peradaban dan tamadun. Sejarah Islam membuktikan bahawa penubuhan negara Madinah yang dahulunya dikenali sebagai Yathrib oleh Rasulullah SAW berjaya melahirkan masyarakat yang bertamadun tinggi. Dalam konteks Malaysia, ia bermaksud satu kelompok rakyat yang hidup dalam keharmonian, tanpa mengira agama, kaum atau latar belakang, serta terlibat secara aktif dalam pembangunan negara. Seiring dengan tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan fizikal dan ekonomi, tetapi juga pembangunan insan, masyarakat dan nilai murni melalui enam nilai teras MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

Nilai peradaban iaitu perpaduan merupakan elemen penting dalam sesebuah negara seperti Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik termasuk Melayu, Cina, India serta pelbagai kaum peribumi di Sabah dan Sarawak. Perpaduan menjadi asas kepada kestabilan dan kemakmuran negara. Ia mengajar kita untuk menghargai kepelbagaian serta menjauhi segala bentuk diskriminasi dan prasangka. Seiring dengan itu, Islam juga menekankan kepentingan berbuat baik sesama manusia. Firman Allah SWT dalam Surah al-Mumtahanah (60), ayat 8 bermaksud “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.”

Selain perpaduan, nilai keadilan sosial juga penting dalam membentuk masyarakat harmoni. Keadilan sosial bermaksud setiap individu dalam masyarakat mendapat hak yang sama tanpa mengira latar belakang termasuk akses kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan, peluang pekerjaan dan perlindungan undang-undang. Masyarakat MADANI menuntut semua rakyat berhak mendapat layanan sama-rata agar mereka lebih bersemangat dalam menyumbang kepada pembangunan negara. Ironinya, ketidakseimbangan dan penindasan boleh menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat. Sebagai contoh, kerajaan telah menyediakan Bantuan Awal Persekolahan, dan Program RMT (Rancangan Makanan Tambahan) untuk pelajar miskin. Hal ini bagi memastikan setiap anak tanpa mengira latar belakang, mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti. 

Penekanan terhadap tadbir urus yang baik sebagai asas penting yang sering ditegaskan oleh YAB Perdana Menteri dalam ucapannya agar integriti dibudayakan dalam pentadbiran, bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga melalui pematuhan disiplin yang perlu dipertingkatkan. Hal ini bermaksud kerajaan dan semua institusi harus mentadbir secara telus, jujur dan bertanggungjawab. Keyakinan rakyat bergantung kepada pemimpin serta sistem pentadbiran negara yang membentuk pembangunan negara yang lebih mampan. Penyelewengan atau salah guna kuasa boleh menyebabkan kepercayaan rakyat terjejas dan menggugat keharmonian masyarakat.

Menjaga keharmonian memerlukan kerjasama semua pihak termasuk institusi pendidikan. Sekolah atau Institut Pengajian Tinggi (IPT) memainkan peranan penting dalam menerapkan pendidikan sivik dan nilai perpaduan. Aktiviti kokurikulum seperti gotong-royong atau sukan sekolah dapat memperkukuh hubungan antara pelajar daripada latar belakang yang berbeza. Selain itu, usaha kerajaan dalam memperkasakan TVET MADANI merupakan satu langkah yang terbaik dalam pengintegrasian nilai-nilai MADANI yang merangkumi aspek moral, sosial dan keusahawanan. TVET tidak lagi menumpukan kepada kemahiran teknikal semata tetapi memperkukuh aspek keperibadian dalam mempromosi diri secara profesional. Melalui sistem pendidikan yang baik, nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, toleransi, dan semangat patriotik dapat diterapkan dalam diri masyarakat.

Penglibatan aktif rakyat menjadi asas kukuh dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang aman dan bersatu padu. Rakyat bukan sahaja perlu menjadi penerima dasar dan pembangunan negara, malah perlu turut serta secara aktif dalam menjayakan usaha ke arah keamanan, perpaduan dan kemajuan bersama. Kerajaan MADANI juga giat menjalankan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh penglibatan rakyat dalam pembangunan negara. Antara inisiatif tersebut termasuklah Kelab Malaysiaku yang diwujudkan di sekolah-sekolah sebagai platform untuk menyemai semangat patriotisme, perpaduan dan nilai sivik dalam kalangan pelajar sejak usia muda. Di samping itu, Program seperti Komuniti MADANI dan Program MADANI Rakyat menjadi medium penting dalam pembangunan komuniti melalui pendekatan inklusif dan mesra rakyat.

Secara keseluruhannya, nilai-nilai seperti keadilan sosial, perpaduan, tadbir urus yang baik dan penglibatan aktif rakyat memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan negara. Nilai-nilai ini menjadi asas dalam usaha membentuk masyarakat MADANI yang harmoni, selaras dengan inisiatif kerajaan yang menekankan kepada pembentukan masyarakat yang berdaya tahan, inklusif dan sejahtera. Pendekatan berteraskan nilai kemanusiaan sejagat, kebertanggungjawaban bersama dan keterangkuman mampu melahirkan sebuah masyarakat yang bersatu padu, aman dan harmoni.

Penolong Pengarah Bahagian Penerbitan Dasar Negara,
Jabatan Penerangan Malaysia