16 SEPTEMBER, JANJI BERSAMA SAAT LAHIRNYA MALAYSIA

Oleh Dr Rehan Tariq
e-mel: rehantariq@usm.my
Apabila rakyat Malaysia memperingati 16 September, tarikh keramat penubuhan Malaysia pada tahun 1963, kita bukan sahaja meraikan penyatuan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, dan Sarawak, tetapi juga menghayati perjalanan panjang dari 31 Ogos 1957 hingga kini. Jika 31 Ogos melambangkan detik kebebasan daripada penjajahan, maka 16 September menandakan kelahiran sebuah bangsa baharu iaitu Malaysia yang dibina atas semangat perpaduan dan demokrasi.
Proklamasi kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka telah membuka jalan kepada kebebasan. Namun, penyatuan pada 16 September 1963 menjadikan perjuangan itu lengkap di mana ianya merupakan satu gagasan negara berdaulat yang merentasi Laut China Selatan.
Malaysia lahir sebagai sebuah demokrasi berbilang etnik, agama, dan budaya, menjadikan kepelbagaian sebagai kekuatan utama. Malaysia kini berdiri sebagai sebuah demokrasi yang dinamik, terus mengembangkan institusi politik, nilai sivik, dan identiti nasional dalam semangat 16 September.
Asas Demokrasi
Sejak awal penubuhan, Perlembagaan Persekutuan menjadi tonggak kepada demokrasi berparlimen dan sistem raja berperlembagaan. Ia mewujudkan sistem semak dan imbang yang memastikan suara rakyat tetap didengar.
Hari Malaysia bukan sahaja meraikan penyatuan, tetapi juga memperbaharui ikrar bersama di mana menyatakan bahawa hak perlembagaan, tanggungjawab, dan perpaduan adalah amanah generasi terdahulu untuk kita teruskan.
Malaysia unik kerana kepelbagaian yang menjadi kekuatan. 16 September melambangkan satu ikatan di mana Sabah, Sarawak, dan Semenanjung bergabung untuk membentuk sebuah negara yang meraikan bahasa, budaya, dan agama yang berbeza tetapi dipersatukan oleh nilai hormat, kerjasama, dan kemakmuran bersama.
Manakala, Rukun Negara yang diperkenalkan pada tahun 1970 mengukuhkan lagi perpaduan ini dengan lima prinsip utama iaitu kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada Raja dan Negara, keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, serta kesopanan dan kesusilaan.
Pencapaian Demokrasi
Malaysia telah melangkah jauh dalam memperkukuh demokrasi. Pindaan Undi18 yang menurunkan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun dan memperkenalkan pendaftaran automatik telah membuka ruang kepada jutaan belia untuk menyuarakan aspirasi mereka.
Dalam PRU15 tahun 2022, penyertaan pengundi muda melonjakkan semangat demokrasi dengan lebih 74% keluar mengundi. Buat pertama kali, generasi baharu Malaysia tampil sebagai pemegang amanah demokrasi, memastikan semangat 16 September terus relevan dalam era moden. Manakala, Reformasi Parlimen melalui Jawatankuasa Pilihan Khas pula telah meningkatkan akauntabiliti kerajaan.
Perbahasan yang lebih telus dan penyertaan dwipartisan menjadi bukti demokrasi Malaysia semakin matang. Pemodenan Suruhanjaya Pilihan Raya dengan sistem pendaftaran automatik dan prosedur yang lebih jelas membuktikan komitmen untuk memastikan setiap warganegara mempunyai hak bersuara, tanpa mengira latar belakang atau lokasi.
Era Digital dan Demokrasi
Dalam era globalisasi, demokrasi Malaysia mendapat nafas baharu melalui transformasi digital. MySPR, sistem daftar pemilih atas talian, dan media sosial memberi ruang rakyat berinteraksi dengan demokrasi secara lebih dekat.
Semasa PRU15, kempen digital membuka jalan baharu suara akar umbi mendapat tempat, dan rakyat di pedalaman turut menyertai wacana nasional. Semangat 16 September kini diterjemahkan dalam bentuk demokrasi digital yang lebih terbuka, inklusif, dan segar.
Generasi muda bukan sekadar pewaris pasif kemerdekaan, mereka ialah penggerak semangat 16 September. Mereka membawa idea baharu, tenaga, dan keberanian untuk membina masa depan negara.
Setiap kali Jalur Gemilang dikibarkan pada Hari Malaysia, ia adalah tanda bahawa perjuangan belum berakhir, sebaliknya diteruskan oleh generasi baharu yang berani bermimpi, menyoal, dan mencipta sebuah Malaysia yang lebih adil, demokratik, dan bersatu.
16 September sebagai Janji Bersama
16 September bukan sekadar tarikh dalam kalendar. Ia adalah detik kelahiran Malaysia, simbol perpaduan, dan nadi demokrasi. Jika 31 Ogos memberi kita kebebasan, maka 16 September memberi kita identiti dan penyatuan.
Dalam dunia yang penuh cabaran, ketidakstabilan politik, maklumat palsu, ketidaksamaan ekonomi tidak pernah melunturkan semangat 16 September, malah ianya mengingatkan kita bahawa demokrasi bukan milik pemerintah semata-mata, tetapi amanah rakyat untuk dijaga.
Hari Malaysia dan Hari Merdeka, apabila diraikan bersama, membentuk naratif yang lengkap, iaitu kemerdekaan membuka jalan dan penyatuan mengukuhkan bangsa. Kedua-duanya menjadi asas kepada sebuah masa depan yang lebih inklusif, berdaya tahan, dan bersatu.
Dr Rehan Tariq
Pusat Pengajian Komunikasi
Universiti Sains Malaysia
Sumber: Berita RTM